"Sesungguhnya di
kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan
para nabi ataupun syuhada’, tetapi para nabi dan syuhada’ mencemburui
mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t. Kata para sahabat,khabarkan kepada
kami siapa mereka?
Rasulullah S.A.W
bersabda:
”Mereka adalah satu
kaum yang saling cinta-mencintai kerana
Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan
kerana kepentingan. Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas
cahaya. Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka
tidak bersedih. Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan
tidak sedih. ( HR Abu Daud)
Mata dah masuk habuk. Pedih.
Melihat ukhuwah yang rasulullah terapkan dalam diri sahabat
sangat utuh ikatannya. Melihat persaudaraan antara muhajirin dan ansar ketika
awal penghijrahan. Sanggup bergadai kesenangan sendiri semata mata untuk
kesenangan saudara seaqidah. Masih di permulaan pertemuaan. Biarpun dari kabilah
berbeza. Tidak pernah bersua muka sebelum ini. Tetapi hati dengan rela memberi.
Ada yang memberikan rumah, kebun, keperluan asas,harta, dan yang paling hebat
apabila sanggup memberikan isteri. Ketika itu mereka lebih mementingkan
saudaranya dari ahli keluarga. Mereka mampu mencapai tahap yang paling tinggi
dalam ukhuwah iaitu ithar.
Semuanya itu lahir dari aqidah yang benar. Keimanan yang
tiada keraguan lagi.
Kisah mereka. Kisah contoh.
Maka tidak mustahil untuk kita juga seperti mereka. Membina sebuah
ikatan persahabatan yang mana asasnya adalah untuk mencari keredhaan Allah
semata. Walaupun dari ayah dan ibu yang berlainan. Walaupun bukan dari
keturunan yang sama. dan juga bukan dari sedarah dan sedaging.
Oleh itu lepaskan diri dari semua kepentingan duniawi. Kerana pangkat.
Kerana harta. Kerana kecantikkan. Kerana kepentingan peribadi kita. Kerana perlukan
kawan.. Lepaskan! Bebaskan dari diri kita.
Jika duniawi sebagai sandaran, maka apabila kehendak kita tidak dituruti
akan mudah rasa kecewa hadir. Pergaduhan mudah berlaku. Perselisihan kerap
timbul. Akhirnya kita mengambil keputusan untuk hidup sendirian meninggalkan teman teman lain.
Ikhlaskan niat.
Lapangkan hati. Ajar dan didik diri untuk meluruskan kembali
niat kita bila bersahabat. Ukhuwah itu indah. Syaratnya perlu kerana Allah. Manusia
itu perlukan teman di sampingnya. Fitrah semulajadi yang Allah kurniakan. Persahabatan
kita tidak terhenti di dunia sahaja. Tetapi sampai akhirat. Mesti kita mahukan
sahabat kita menjadi jiran kita di syurga bukan? Bagaimana pula perasaan bila
melihat ada sahabat kita yang terhumban ke dalam neraka ketika melalui titian
sirat yang mana halusnya sehelai rambut yang di belah tujuh?
Biarlah kekurangan dan kelebihan sahabat kita tampung bersama.
Berlapang dada. Nasihat menasihati. Ithar (melebihkan sahabat dari diri kita).
Kerana kita perlukan kekuatan untuk mengharungi dunia hari
ini sebagai cabaran untuk menuju akhirat. Mencari redha Allah itu bukan
sentiasa senang dan indah dan bukan semuanya mengikut kehendak dan kebolehan
kita. oleh itu penting untuk punya sahabat yang sama matlamatnya.
Memang payah untuk meluruskan besi yang bengkok. Perlukan suhu
yang tinggi. Kepakaran . kesabaran. Apabila selesai besi itu akan menjadi besi
yang sangat cantik seperti yang kita inginkan. Begitu juga kita, mana ada magic
dalam hidup kita. mulakan dari sekarang. Berukhuwah semata mata keredhaan Allah
nescaya ada ganjaran yang terhebat dariNya.
____
Jazakumullahu khairan katheera buat mereka yang telah
mengajar erti ukhuwah lillah. Pengalaman bersederhana dan tidak selfish bila
bersama. Hanya Allah yang mampu membalas. Kita sama sama mengejar syurga. Rebutlah
bersama. Jadikan persaingan kita ini persaingan yang sihat. Kerana redha Allah.
Kerana syurga Allah.