Bismillah.
Kembali meneruskan kesibukan hidup setelah bercuti panjang. Memenuhi hari-hari dengan kuliah bersama pensyarah yang berdedikasi dan kuiz setiap minggu, klinik dan patient-patient yang bermacam ragam, dan manusia-manusia sekeliling yang tidak kurang juga penuh dengan ragam.
Itulah lumrah asam garam kehidupan.
Bertambah jelas dan nyata lagi di negara penuh sejarah ini. Negara perlembahan Nil.
*****
Boleh jadi kita akan menjadi manusia yang penuh keluhan dengan kepenatan itu. Tika mana terlampau sibuk dengan pelbagai urusan, sehingga terkadang terlupa asal tujuan kita beramal di dunia. Dalam kesibukan kita juga, boleh jadi yang dikejar itu bukan matlamat tetapi cuma alat. Boleh jadi yang dikejar itu hanya kejayaan di dunia semata. Tiada dikait dengan akhirat kita.
Lantas pada saat kesibukan kian mencengkam, seringlah bertanyakan pada diri apakah matlamat sebenar kita? Tujuan apa yang menyebabkan kita berada di dunia? Untuk apa hidupnya kita hari ini?
Baca dan ulangi berkali- kali; bahawa matlamat kita yang utama adalah untuk menjadi HAMBA kepada Allah. Tidak cukup sekadar hanya menjadi seorang yang menyembah Allah tetapi sehingga tahap boleh merasakan penghambaan sepenuhnya padaNya.
Kesibukan kita menjadi hamba tidak akan mengurangkan juga matlamat kita untuk menjadi KHALIFAH di atas muka bumi ini. Kerana kehidupan kini sudah di pengakhiran zaman. Tidak ada lagi nabi yang diutuskan untuk membawa wahyu. Maka tanggungjawab mereka yang muslim untuk melaksanakan dan menyebarkan islam itu.Sehingga mana tiada lagi yang tertinggi melainkan islam agama yang mulia.
Nyata masih lagi punya kesibukan lain di balik kesibukan kita yang hanya bermain di sekitar halaman kuliah. Maka terlampau banyak lagi yang perlu difikir dan dirisaukan.
Tetapi tidak pula mengecilkan semua kesibukan yang ada. Tidak bermakna untuk meninggalkan kuliah dan hanya fokus untuk menjadi hamba dan khalifah. Ketahuilah, Allah telah menyediakan tempat yang sangat selesa untuk menjadi hamba dan khalifah iaitu dunia. Oleh itu Dia mahukan perdagangan dari kita. Modulnya sudah di beri maka kita cuma perlu membuat pelaburan sahaja. Dengan beramal sebaiknya dengan modul yang diberikan. Menggunakan segala nikamat untuk kebaikan. Menggunakan segala rezeki untuk di syukuri.
Menjadikan kehidupan itu sepenuhnya mengikut aturan islam. Bermula dari bangun tidur, mandi, memilih baju sehingga kembali ke katil semula untuk tidur.
Dengan kata mudah, menjadi muslim duapuluh empat jam. Tiada pengecualian walau sejam.
Belajar juga di tuntut islam maka kembali lah dalam kesibukan dengan kefahaman. Bahawa kesibukan itu biar kerana Allah nescaya penuh berganda pahalanya dan berkatnya. Adakah salah untuk kita menjadi pelajar cemerlang?
'' Mereka yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya,
dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya ''
( QS 2: 46)
Kerana keyakinan kita bahawa akan pergi meninggalkan dunia ini. Maka selayaknya untuk kita berpenat dalam kesibukan. Keyakinan itu melonjak untuk kita tiada masa lapang.
Benar, terlampau banyak kerja-kerja kita yang menuntut untuk disiapkan tetapi masa semakin suntuk. Imam Al Banna menegaskan bahawa kewajipan itu lebih banyak dari masa. Moga hari-hari yang berbaki ini tidak terbuang tanpa amal yang bermanfaat.
Kembali mengorak langkah. Biar penuh kesibukan tetapi mampu mencari bahagia dan ketenangan. Walau hanya menemui dengan meringankan beban saudaranya, atau hanya mampu memberikan senyuman hadir terlukis pada wajah sahabatnya.
Mungkin masa sibuk kita sudah tidak panjang. Tidak pernah terjangka dek akal kita tempoh itu. Rebut peluang ini untuk terus menjadi mereka yang sabar. Kerana untuk melepasi setiap fasa kesusahan, kesibukan, kejayaan dan kegembiraan juga perlukan kesabaran.
Yang utama, menjadikan Allah sebagai tempat mengadu yang pertama. Juga menjadikan Al-Quran sahabat karib yang tidak boleh berenggang dengannya. Dan sering menjadikan sahabat yang sering mengingatkan kita kepada Allah sebagai sumber kekuatan juga.
Moga amal yang sedikit ini mampu melayakkan kita bersama-sama mereka yang beroleh redhaNya.
Kuliah yang penuh dengan kejutan. Perkara yang tiba-tiba memang biasa. |
p/s : Menghadapi final year yang mencabar. Doakan diri ini diberikan kekuatan dan kesabaran untuk setiap ujian di relung-relung kehidupan ini.
Kesibukan yang menguji. Moga padanya ada keberkahan.