19 December 2014





Khas buat awak...

Kerana keterbatasan waktu untuk kita bertemu...

Hanya sebuah lagu kiriman rindu..





20 November 2014

Pandanganlah,jangan hanya sekali.






Terkadang kita menafikan sesuatu tanpa memberi pandang pertama sekalipun.
Nyata kita yang menutup ruang.

Sedangkan rasa ragu pada kewujudan langit dan keunikan padanya,
Tuhan mengarahkan untuk melontarkan pandangan berkali-kali.
Sehingga kau ketemu kekurangan padanya.


Ulanglah pandangan berkali-kali.

Sehingga ragu-ragu itu pergi.
Sehingga keyakinan yang terpahat di sanubari.


AL-MULK berbicara.
Bukan sekadar penyata dan pencerita.
Tetapi bicara kata untuk dirasa.
Seperti apa sikap kita?
Seteguh mana keimanan kita?


Ayuh pandanglah kembali.
Disitu kau akan mengerti. 
Bahawa DIA, tuhan yang Maha Mengerti. 




19112014
11.00 pm
Kota Kaherah.


22 October 2014

Kembali mencari dalam kesibukan


Bismillah.

Kembali meneruskan kesibukan hidup setelah bercuti panjang. Memenuhi hari-hari dengan kuliah bersama pensyarah yang berdedikasi dan kuiz setiap minggu, klinik dan patient-patient yang bermacam ragam, dan manusia-manusia sekeliling yang tidak kurang juga penuh dengan ragam.

Itulah lumrah asam garam kehidupan.

Bertambah jelas dan nyata lagi di negara penuh sejarah ini. Negara perlembahan Nil. 


*****

Boleh jadi kita akan menjadi manusia yang penuh keluhan dengan kepenatan itu. Tika mana terlampau sibuk dengan pelbagai urusan, sehingga terkadang terlupa asal tujuan kita beramal di dunia. Dalam kesibukan kita juga, boleh jadi yang dikejar itu bukan matlamat tetapi cuma alat. Boleh jadi yang dikejar itu hanya kejayaan di dunia semata. Tiada dikait dengan akhirat kita.

Lantas pada saat kesibukan kian mencengkam, seringlah bertanyakan pada diri apakah matlamat sebenar kita? Tujuan apa yang menyebabkan kita berada di dunia? Untuk apa hidupnya kita hari ini?

Baca dan ulangi berkali- kali; bahawa matlamat kita yang utama adalah untuk menjadi HAMBA kepada Allah. Tidak cukup sekadar hanya menjadi seorang yang menyembah Allah tetapi sehingga tahap boleh merasakan penghambaan sepenuhnya padaNya.

Kesibukan kita menjadi hamba tidak akan mengurangkan juga matlamat kita untuk menjadi KHALIFAH di atas muka bumi ini. Kerana kehidupan kini sudah di pengakhiran zaman. Tidak ada lagi nabi yang diutuskan untuk membawa wahyu. Maka tanggungjawab mereka yang muslim untuk melaksanakan dan menyebarkan islam itu.Sehingga mana tiada lagi yang tertinggi melainkan islam agama yang mulia.

Nyata masih lagi punya kesibukan lain di balik kesibukan kita yang hanya bermain di sekitar halaman kuliah. Maka terlampau banyak lagi yang perlu difikir dan dirisaukan. 

Tetapi tidak pula mengecilkan semua kesibukan yang ada. Tidak bermakna untuk meninggalkan kuliah dan hanya fokus untuk menjadi hamba dan khalifah. Ketahuilah, Allah telah menyediakan tempat yang sangat selesa untuk menjadi hamba dan khalifah iaitu dunia. Oleh itu Dia mahukan perdagangan dari kita. Modulnya sudah di beri maka kita cuma perlu membuat pelaburan sahaja. Dengan beramal sebaiknya dengan modul yang diberikan. Menggunakan segala nikamat untuk kebaikan. Menggunakan segala rezeki untuk di syukuri.

Menjadikan kehidupan itu sepenuhnya mengikut aturan islam. Bermula dari bangun tidur, mandi, memilih baju sehingga kembali ke katil semula untuk tidur. 

Dengan kata mudah, menjadi muslim duapuluh empat jam. Tiada pengecualian walau sejam.
Belajar juga di tuntut islam maka kembali lah dalam kesibukan dengan kefahaman. Bahawa kesibukan itu biar kerana Allah nescaya penuh berganda pahalanya dan berkatnya. Adakah salah untuk kita menjadi pelajar cemerlang?



'' Mereka yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya, 
dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya ''
( QS 2: 46)


Kerana keyakinan kita bahawa akan pergi meninggalkan dunia ini. Maka selayaknya untuk kita berpenat dalam kesibukan. Keyakinan itu melonjak untuk kita tiada masa lapang.

Benar, terlampau banyak kerja-kerja kita yang menuntut untuk disiapkan tetapi masa semakin suntuk. Imam Al Banna menegaskan bahawa kewajipan itu lebih banyak dari masa. Moga hari-hari yang berbaki ini tidak terbuang tanpa amal yang bermanfaat.

Kembali mengorak langkah. Biar penuh kesibukan tetapi mampu mencari bahagia dan ketenangan. Walau hanya menemui dengan meringankan beban saudaranya, atau hanya mampu memberikan senyuman hadir terlukis pada wajah sahabatnya.

Mungkin masa sibuk kita sudah tidak panjang. Tidak pernah terjangka dek akal kita tempoh itu. Rebut peluang ini untuk terus menjadi mereka yang sabar. Kerana untuk melepasi setiap fasa kesusahan, kesibukan, kejayaan dan kegembiraan juga perlukan kesabaran. 

Yang utama, menjadikan Allah sebagai tempat mengadu yang pertama. Juga menjadikan Al-Quran sahabat karib yang tidak boleh berenggang dengannya. Dan sering menjadikan sahabat yang sering mengingatkan kita kepada Allah sebagai sumber kekuatan juga. 

Moga amal yang sedikit ini mampu melayakkan kita bersama-sama mereka yang  beroleh redhaNya. 





Kuliah yang penuh dengan kejutan. Perkara yang tiba-tiba memang biasa.



p/s :  Menghadapi final year yang mencabar. Doakan diri ini diberikan kekuatan dan kesabaran untuk setiap ujian di relung-relung kehidupan ini.
Kesibukan yang menguji. Moga padanya ada keberkahan.


21 September 2014

Cahaya di balik mendungnya awan.








'' Dan apabila mereka mendengarkan apa ( al-quran) yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat air mata mereka bercucuran disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui, seraya berkata : 'Ya Rabb, kami telah beriman, maka catatkanlah kami bersama-sama orang yang menjadi saksi ( atas kebenaran al-quran dan kenabiaan Muhammad )'. ''

 [ QS 5: 83 ]


Atas sebuah kesaksian.
Aku meminta sebuah kekuatan.
 Dalam melaksanakan tuntutan SHAHADATUL HAQ.

Selepas KAU beri aku sedar.

Aku kini tegar.

Mencari saksi.
Untuk amal selepas mati.

Mencari amal. 
Untuk lepasi sebuah titi.
Titian halus.
Ibarat rambut yang dibelah tujuh.
Titian sirat yang menjanjikan sebuah syurga andai mampu melepasinya.

Kerana takut akan sebuah pengakhiran nanti.
Ya Rabbi.
Pimpinlah daku dalam menyelusuri.
JALAN INI.


03 September 2014

Kedua kalinya..

Bismillah.

Setiap manusia itu Allah beri padanya ruang pilihan. Seandainya bukan kita yang memilih, sudah pasti Allah yang akan memilih untuk kita. Pilihan kita juga bergantung atas pilihan dari Allah. Kadang- kadang pilihan kita itu tidak selari dengan pilihan Allah. Maka seharusnya hakikat itu yang perlu kita sedari. Kerana Dia yang Maha Mengetahui baik buruk dalam kehidupan kita.
Hamba. Title yang tidak akan dan tidak pernah hilang dari kita sehingga kiamat datang. Selama-lamanya.

Maka untuk kali ini..
Pilihan Dia adalah yang terbaik buat ku. Bila mana keseronokan bersama keluarga memenuhi ruang hati ini. Sehinggakan boleh penuh balang hati ini dengan kecintaan berada di sekeliling keluarga tercinta. Peluang untuk berada di hadapan mata mereka adalah peluang yang berharga. Susah. Setahun sekali tak semestinya bertemu.

Kala di sapa dengan berita itu,hanya senyuman yang mampu berdiam. berita itu di baca berulang-ulang kali. Demi membuat kepastian. Benar. Diriku adalah salah seorang yang tersenarai.

Oh ok.

Nak buat apa sekarang ini?

Senyum.

Nangis.

Diam.

Kepala yang pusing nak terjemahkan perasaan kala itu.
Maka untuk kedua kalinya, ku perlu menduduki semula exam untuk dua subjek lagi.

Oral Pathology.
Dermatology and Internal Medicine.

Kata kakak senior, itu memang subjek 'killer'. Hanya mampu menganggukkan kepala.
Mungkin.

***

Perjalanan pulang yang memakan masa berjam-jam lamanya. Merentasi lautan demi lautan.

Maka saat perjalanan pulang, inilah masa ketenangan untuk berfikir dan memuhasabah kembali perjalanan diriku sebagai hamba dan khalifah. Adakah ini ujian yang menjatuhkan aku? Atau ianya satu teguran untuk ku? Atau ianya untuk memperteguhkan lagi keyakinanku?

Ujian ini rawatan untuk diriku. Mungkin kesakitan itu bukan nampak pada fizikalnya, tapi pada jiwa dan rohaninya. Penyakit yang akan membawa lari hammasah dan himmah dari jiwa. Dan diriku perlu melaluinya.

Syukran Ya Allah.
Satu nikmat dan rahmat. Dan kesedaran itu Kau berikan bila mana ditimpa dengan ujian besar yang berturut-turut. Bukan sekali.

Jiwa yang pada hemahnya kental, tetapi itu palsu. Hakikatnya hanya ingin mengusir sedih yang selalu mengunjung. Jiwa yang cuba dididik untuk kalis emosi. Kental dan tabah seperti sahabiah dan wanita pejuang. Dalam pada itu, diriku seolah lupa hakikat jiwa seorang wanita. Fitrah seorang perempuan.

Ya. Aku perlu belajar dalam menguruskan emosi. Bukan menafikan emosi yang datang itu. Mungkin masih belum berjumpa jalan lagi. Maka permohonanku untuk sentiasa di buka jalan bagi ku untuk sentiasa meletakkan diri dalam kalangan mereka yang sentiasa memperbaiki diri. berjauh dari perasaan bongkak dan sombong dan merasa cukup dengan ilmu yang sedia ada.

Jiwa yang hidup akan penuh dengan emosi. Barangkali kita tidak sedari, peranan emosi itu yang mampu membawa cinta dari langit turun di bumi lalu di sebarkan. Kuasa hati,jiwa dan emosi.

Terkadang tanpa kita sedar, ujian itu akan membuahkan satu kenangan indah dalam diri,sampai mampu mengukir sebuah senyuman tatkala di kenang kembali. Melalui pada awalnya penuh kepayahan, tetapi tetap mampu untuk melaluinya.

Maka kehidupan ini kita lalui dia bukan dengan berjalan di bawah pintu-pintu gerbang. Yang sememang pasti terbuka untuk kita melepasinya. Tetapi kehidupan ini, adalah satu jalan yang kita perlu laluinya dengan berhadapan dengan pintu-pintu checkpoint. Ada ujian untuk kita dalam mendapatkan kuncinya. Untuk masuk melalui pintu itu pula, ada persoalan-persoalan perlu kita jelaskan. Supaya akhirnya kita melalui pintu masuk yang betul dan akhirnya membawa ke pintu akhir yang sebenar; syurga.

Fasa merundumnya iman ini bukan bermakna dirimu gagal sepenuhnya dalam meraih cinta Allah. Kalam dari Tuhanmu sering diungkapkan di dalam al quran; untuk terus meraih ampunanNya dengan taubat.

Selama ini mungkin kuantiti amal itu berlebih sedangkan kualiti itu belum mencapai skema tuhan. Dan Tuhanmu Maha Mengasihani dan mencintaimu. Dia mahukan amal yang terbaik darimu disisiNya.

Akhirnya, keIKHLASan itu yang paling penting. Amal hati yang hanya diketahui hanya dirimu dengan Allah sahaja. Walau apa pun yang telah Allah aturkan, USAHA untuk kehidupan ini tetap menjadi kemestian. Dan meletakkan semua pengharapan padaNya ; TAWAKAL. Maka dengan itu, segala keputusan yang akan diterima haruslah dengan hati yang REDHA. Kerana penyerahan usaha itu pada sang pencipta yang Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih..

Kita menginginkan kehidupan di dunia yang indah dengan kejayaan-kejayaan dalam kehidupan, keluarga yang harmoni, sahabat-sahabat yang memahami dan lain-lain lagi impian kita. Sedarlah, inilah kehidupan sementara. Dunia adalah peluang untuk kita membina kerjaya yang akan memberi saham untuk akhirat kita. Mencari ahli keluarga dan tema-teman yang akan berada bersama-sama duduk di atas dipan-dipan sambil bersembang mesra di syurga nanti.

Tajdid niat. Perbaharui niat.
Tajdid iman. Perbaharui iman.
Sentiasa.

***

Perjalanan dua puluh tiga tahun.
Ke arah menjadi Indvidu Muslim.


02 June 2014

The People of the Boxes- Dawud Wharnsby


Sambil-sambil selak buku...

.
.
.

Nak hafal buku memang stress.
pfuhhh.

Dah nama pun P.E.L.A.J.A.R kena la belajar kan?


******


Jom tengok video ni kejap :)






27 May 2014

Sebuah kalam.


Kerana sebuah kalam..
Mencorak makna dari Al Qalam.


Mulut yang Allah jadikan sebagai nikmat untuk kita. Kemampuan kita menuturkan patah-patah perkataan juga adalah nikmat yang dikurniakan kepada kita. Tersusunnya kalam kalam kita juga adalah dari Allah. Terlintas idea untuk dibicarakan dan dicetuskan ideanya juga adalah ilham dari allah.

Di ceruk mana kita meletakkan syukur kita pada Allah atas nikmat dan keupayaan kita dalam menggunakan fungsi mulut kita sebaiknya?

Semua orang mampu berbicara dengan baik. Tetapi teristimewanya dia pabila kalamnya itu mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah. Mengenal tuhannya. 

Semua orang inginkan bicara yang indah dan teratur. Apakah kita tidah pernah belajar untuk sentiasa memperindahkan tutur kata untuk mendekati manusia dan mengajaknya kepada Allah?
Bisa sahaja kita menghadiri seminar communication skill. Untuk apa tujuan kita? Buat yang berbisnes adakah untuk mendapatkan klien semata?


Mari kita duduk dan berfikir semula. berapa peratus ilmu yang kita pelajari itu mampu menyumbang untuk dunia dan akhirat kita. Skill yang Allah kurniakan untuk kita berapa nisbah dunia dan akhirat kita peruntukkan?

Berfikirlah sebelum ditarik nikmat itu.
Berfikirlah sehingga terkadang itu pening yang hadir.
Biarlah berpening seketika. Semuanya untuk dunia dan akhirat kita.

Apakah itu sangat berat bagi mu?

Firman dariNya memberi kehidupan.

" Dan siapakah yang lebih baik kalamnya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ' sungguh, aku termasuk orang-orang muslim yang berserah diri " 
(QS 41: 33)

Maka kalamnya seorang muslim itu sangat bernilai buat muslim yang lain.
Sangat dinanti buat mereka yang belum muslim juga.
Bagaimanakah kita saat ini?

Masih memberat bila mana di minta untuk mengajak manusia bersama mengenal al khaliq?





20 May 2014

Husnul khatimah semua pengakhiran...






Kerana tuhan lebih menyayangi





8 Mei 2014.

Dengan kasih dan sayangnya Allah kepada ummi.. Dia telah menjemput ummi kembali padaNya.

Pada hening pagi. Saat mustajab untuk diperkenankan doa bagi hambaNya yang meminta. Ketika suasana sunyi sepi tanpa gangguan dan kebisingan dunia...

Pinta ummi cuma satu saat itu...
" kejut ummi ya subuh nanti..."

cerita mereka...

**********

Lain pula di seberang laut. Timur tengah.

Dalam sebuah halaqah usrah. Kalam tadabburnya penuh dengan ayat yang menyentap jiwa...

Surah Hud ALLAH ilhamkan untuk kami baca, renungi dan fahami isinya.


(Hud: 104)  Dan Kami tidak akan menunda, kecuali sampai waktu yg ditetapkan.

(Hud:105)  ketika hari itu datang, tidak seorang pun yg berbicara, kecuali dgn izinNya. Maka di antara mereka ada yg sengsara dan ada yg berbahagia

(Hud:106)  maka adapun orang yang sengsara , maka tempatnya di neraka.di sana mereka mengeluarkan dan menarik nafas dengan merintih.

(Hud:107)  mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi kecuali jika Tuhanmu menghendaki. Sungguh tuhanMu maha pelaksana 

(Hud:108)  dan adapun orang -orang yang berbahagia. Maka tempatnya di dalam syurga. Mereka kekal didalamnya.selama ada langit dan bumi kecuali jika Tuhanmu menghendaki yg lain. Sebagai kurnia, yang tidak ada putus putusnya 


Sepertinya sebuah persiapan untuk aku menerima berita itu..

Beberapa minit selepas itu memang benar, panggilan dari Malaysia. Khabaran yang selama ini aku pinta bukan sekarang waktunya..Tetapi tiada siapa mampu mengubahnya.

" Assalamualaikum... sabar ya.. Ummi dah tiada beberapa minit lalu."

" Innalillah wa inna ilaihi rojiuun"


*********

Sebuah kehilangan mengejut buat kami. 

Moga ALLAH tempatkan dalam kalangan hambaNya yang diredhai dan mendapat rahmat dariNya.

Kini, Ummi hanya mengharapkan doa dari anak-anaknya yang soleh dan solehah. 








p/s:  hari-hari sebelum final exam. Doakan moga aku tidak tenggelam dalam lautan perasaan. Tarik nafas dalam-dalam dan hembus...

07 May 2014

A.Y.A.H.


Ambil masa sekejap untuk tonton video ni.
.
.
.



Kadang kadang ayah tak tunjukkan kasih sayang dia dengan belaian manja. 
Ayah tak pujuk bila kita merajuk.

Tapi dia sangat sayangkan anak-anak.
Dia ada cara tersendiri meluahkan sayang.
Dalam kasihnya dia, penuh dengan pengajaran.
Bagi ayah, sayang anak adalah dengan mengajarkan dia kehidupan.
Ayah kurang bercakap.
Sebenarnya dia mengajar dalam senyap.
Tunjukkan praktikal itu sebenarnya lebih berkesan.

Itulah seorang ayah.

Tetapi kita, sering menyalahkan seorang ayah hanya kerana tidak memenuhi kehendak kita pada satu-satu masa.
Kita protes kerana ayah bagi duit sikit.
Kita nak enjoy dengan kawan tetapi ayah larang.
Kita nak ayah ikut cakap kita.

Sampaikan kita nak duduk dengan family kawan.
Nak lari dari rumah.
Hanya kerana rajuk seorang budak remaja.



p/s: homesick. sangat. Asyik pandang langit. Bila ada kapalterbang lalu mesti nak pandang. 
     Sabar. sabar. Lagi 46 hari kita jumpa. Bi iznillah.

26 April 2014

Semusim ini.




Semusim ini
Bakal berakhir beberapa bulan sahaja lagi.

April.
Mei.
Jun.


Pandangan di halakan jauh nun ke hujung sana. Melihat kanak-kanak riang berkejaran sesama sendiri.Kicauan burung dan bisikan kenderaan tidak menggangu mereka. Keasyikan bermain dan merebut permainan menenggelamkan mereka. Dunia mereka.
Ada juga yang hanya duduk melihat dari kejauhan. Hanya mampu melihat dari balik pagar besi dan tembok taman. Bukan kerana mereka tiada keinginan seperti kanak kanak lain, tetapi mungkin tidak mampu mendahulukan wang buat bayaran di kaunter masuk. Ada keperluan lain yang membataskan mereka. 

Meriah. Indah. Itu yang dapat di gambarkan.
Seolah tiada apa yang perlu di risaukan dengan kehidupan ini. Musim panas.

Sebuah hembusan yang panjang tetapi bukan keluahan penyesalan.


Semusim ini,
Musim yang mencabar buat aku.
Seawal kedatangannya lagi. Menuntut sentiasa sebuah rasional, sabar dan meletakkan sepenuh pergantungan pada sang pencipta.

Penangguhan penerbangan pulang. Pertama sebelum musim bermula. Yang ketika itu tidak diketahui pergantiaannya. Seolah-olah penantiaan yang tiada jaminan.
Dalam keserabutan itu, masih lagi dikurniakan kemampuan untuk melaluinya.. Dua hari 'terkandas' sebelum di tukar dengan pesawat lain. Sebuah permusafiran menuntut ilmu.

Kehidupan pelajar pergigian di tahun-tahun klinikal..Perlukan kepada Doktor dan pesakit untuk sebuah pembelajaran yang berkesan.

Bergelumang dengan buku, assigment dan segala requirement yang menuntut untuk di laksanakan sehabis ihsannya. Ragam seorang pelajar dan sekolah kesayangannya. Semua itu menjadi rencam sebuah kehidupan musim ini. Memori penggal ke-4.

Cuti musim sejuk yang panjang. Menjangkau dua bulan lamanya. Melampaui batas sebenar tempoh dua minggu cuti musim sejuk. Atas permasalahan negara semua boleh berlaku.

Exam final di awalkan pula. Bagaimana mahu mencerna ilmu dengan baik? Bimbang 'sembelit' ilmu di dalam otak. Kerana jam pembelajaran yang berkurangan. Mana mahu dikejar dengan kelas yang penuh dari pagi sehingga larut petang sedangkan mid-term exam juga masih terkial untuk di habiskan.

Hari hari yang tidak menentu.
Jadual pembelajaran yang berubah-ubah. Menuntut juga kecekapan penuntut untuk menyusul jadual kehidupan seseimbang mungkin.

Hari hari itu,terkadang membawa kekuatan itu pergi. Kepenatan yang berganda sehabis pulang dari persekolahan membataskan kemampuan badan. Terlampau banyak tuntutan lain juga perlu di lunaskan.Tuntutan seorang muslim, seorang daie, seorang teman serumah, seorang anak, dan lain-lain tuntutan lagi.


Semusim ini.
Mengimpikan sebuah kekuatan untuk menjadi sehebat khansa', ibu yang bercita-cita tinggi membakar semangat juang sang anak dan saudara lelaki. Wanita yang begitu mendalam cintanya pada agama.
Ingin sehebat wanita dambaan di syurga..

Allah uji lagi. Kesihatan diri tidak menentu.Rupanya bukan sekadar itu, ada lagi ujian yang Allah hidangkan.Bonda tercinta juga begitu malah lebih  lagi. Menambah rasa rindu yang menggunung. Hanya suara yang menjadi pengubat rindu. Dalam doa dititipkan rasa itu.

Menjadi yang hebat di mata Allah tidak sekadar angan-angan dan sebutan. Perlu di gores jiwa, jasad dan pemikirannya dengan ujian dan cabaran.


Semusim ini.
Moga aku menjadikan ia sebagai muhasabah sepanjang perjalananku. Segala yang tercoret itu biarlah dalam keadaan aku menyedarinya. Sama ada ia sebuah kebaikan atau keburukan. Sama ada ia satu berita gembira atau kedukaan. Aku memerlukan semua itu. Aku perlu merasai semua perasaan itu sebagai bukti sebuah kehidupan yang realiti.Kerana aku seorang manusia. Berdiri di bumi beratapkan langit.
Kerana aku masih belajar. Kerana aku seorang pelajar. Pelajar madrasah kehidupan.

Biarlah sebelum pengakhiran musim ini, dilepaskan semua niat yang bukan kerana Allah. Bimbang ianya menghancurkan amal-amal menjadi seperti debu yang berterbangan lalu hilang di bawa angin.

" Dan barangsipa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju) maka sesungguhnya, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

- Annisa' : 100-





15 April 2014

Umi kata, " dah banyak nikmat umi dapat..."



Terkedu saat berita itu sampai ke pengetahuan ku...

' Awak , umi awak...cancer stage 4 dah merebak sampai kaki. ', pesanan ringkas yang aku terima dari kawan-kawan.

Terkedu.
Membaca berkali-kali message yang diterima.

Aku masih tidak percaya akan berita itu. Laju tangan ini mendail nombor mereka, tetapi tiada sorang pun yang menjawab panggilan ketika itu. Mungkin mereka sudah tidur. Salahku juga kerana menelefon pada malam yang sudah larut di seberang laut sana. Tetapi tetap juga mendail nombor mereka buat sekian kalinya.

" Assalamualaikum, ya..." suara itu menjawab. Lemah sekali. Mungkin penat seharian mengurus keperluan di hospital.

" kak..dah tidur? ", aku berbasa-basi bertanya.

" Belum, baru nak tidur...tunggu umi tidur dulu, "

" betul ke apa yang angah tahu ni? ", laju sahaja aku bertanya. Kerana perlu segera menamatkan perbualan ini. aku mencuba mendapatkan jawapan yang menidakkan keyataan yang ada.

" keputusannya macam yang angah tahu...doakan kita semua bersabar dengan berita ni..."

Usai berita itu di sahkan adik, lantas aku meinta maaf kerana menggangu rehatnya. tiada kata terucap saat itu. allah bahagiakan kami dengan ujian baru. Alhamdulillah.

------------------------------

Berhari hari mencuba untuk menembusi talian tetapi tidak berjaya..Allah. Bagaimana untuk mengusir kerisauan di hati ini selagi belum mendengar khabar dan suara mereka di sana.

Ya Allah, betapa sukarnya menjadi orang yang positf saat mana di uji. Menstabilkan emosi juga tidak sesenang teori yang di bentang dan di bicarakan. Amat payah sekali.

exam.
kelas.
program.
usrah.

Membataskan aku untuk terus hanyut dalam lautan kesedihan. Mengawal emosi untuk melalui hari hari yang lebih mencabar akan datang. Positif bila rasa rindu itu hadir. Positif bila kelas dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Mengira waktu untuk menghubungi umi. Jarak 6 jam amat membataskan.
positif bila kebiasaan menghilangkan stress dengan bersembang dengan umi berjam-jam tidak lagi available buat masa ini.

pesanan umi..
'angah ini ujian sahaja untuk kita. untuk umi...Mungkin dah banyak nikmat yang Allah beri pada umi. Hari ini Allah nak umi selalu mengadu pada Dia...
Angah kena focus study... exam tu jangan buat main-main. Buat yang terbaik..'

InsyaAllah.
Teruskan kehidupan ini selagi Dia beri nyawa untuk hidup.

Akhirnya umi yang beri semangat bukan aku yang beri semangat pada umi :'(

teruskan bersangka baik dengan tuhan. Pasti ada kenikmatan yang indah di sebalik ujian ini.

23 February 2014

Teman ke syurga


"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada’, tetapi para nabi dan syuhada’ mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t. Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka?

Rasulullah S.A.W bersabda:

”Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan. Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya. Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih. Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih. ( HR Abu Daud)


Mata dah masuk habuk. Pedih.

Melihat ukhuwah yang rasulullah terapkan dalam diri sahabat sangat utuh ikatannya. Melihat persaudaraan antara muhajirin dan ansar ketika awal penghijrahan. Sanggup bergadai kesenangan sendiri semata mata untuk kesenangan saudara seaqidah. Masih di permulaan pertemuaan. Biarpun dari kabilah berbeza. Tidak pernah bersua muka sebelum ini. Tetapi hati dengan rela memberi. Ada yang memberikan rumah, kebun, keperluan asas,harta, dan yang paling hebat apabila sanggup memberikan isteri. Ketika itu mereka lebih mementingkan saudaranya dari ahli keluarga. Mereka mampu mencapai tahap yang paling tinggi dalam ukhuwah iaitu ithar.

Semuanya itu lahir dari aqidah yang benar. Keimanan yang tiada keraguan lagi.  
Kisah mereka. Kisah contoh.

Maka tidak mustahil untuk kita juga seperti mereka. Membina sebuah ikatan persahabatan yang mana asasnya adalah untuk mencari keredhaan Allah semata. Walaupun dari ayah dan ibu yang berlainan. Walaupun bukan dari keturunan yang sama. dan juga bukan dari sedarah dan sedaging.

Oleh itu lepaskan diri dari semua kepentingan duniawi. Kerana pangkat. Kerana harta. Kerana kecantikkan. Kerana kepentingan peribadi kita. Kerana perlukan kawan.. Lepaskan! Bebaskan dari diri kita.
Jika duniawi sebagai sandaran, maka apabila kehendak kita tidak dituruti akan mudah rasa kecewa hadir. Pergaduhan mudah berlaku. Perselisihan kerap timbul. Akhirnya kita mengambil keputusan untuk hidup sendirian meninggalkan teman teman lain.

Ikhlaskan niat.

Lapangkan hati. Ajar dan didik diri untuk meluruskan kembali niat kita bila bersahabat. Ukhuwah itu indah. Syaratnya perlu kerana Allah. Manusia itu perlukan teman di sampingnya. Fitrah semulajadi yang Allah kurniakan. Persahabatan kita tidak terhenti di dunia sahaja. Tetapi sampai akhirat. Mesti kita mahukan sahabat kita menjadi jiran kita di syurga bukan? Bagaimana pula perasaan bila melihat ada sahabat kita yang terhumban ke dalam neraka ketika melalui titian sirat yang mana halusnya sehelai rambut yang di belah tujuh?
Biarlah kekurangan dan kelebihan sahabat kita tampung bersama. Berlapang dada. Nasihat menasihati. Ithar (melebihkan sahabat dari diri kita).

Kerana kita perlukan kekuatan untuk mengharungi dunia hari ini sebagai cabaran untuk menuju akhirat. Mencari redha Allah itu bukan sentiasa senang dan indah dan bukan semuanya mengikut kehendak dan kebolehan kita. oleh itu penting untuk punya sahabat yang sama matlamatnya.

Memang payah untuk meluruskan besi yang bengkok. Perlukan suhu yang tinggi. Kepakaran . kesabaran. Apabila selesai besi itu akan menjadi besi yang sangat cantik seperti yang kita inginkan. Begitu juga kita, mana ada magic dalam hidup kita. mulakan dari sekarang. Berukhuwah semata mata keredhaan Allah nescaya ada ganjaran yang terhebat dariNya.

____

Jazakumullahu khairan katheera buat mereka yang telah mengajar erti ukhuwah lillah. Pengalaman bersederhana dan tidak selfish bila bersama. Hanya Allah yang mampu membalas. Kita sama sama mengejar syurga. Rebutlah bersama. Jadikan persaingan kita ini persaingan yang sihat. Kerana redha Allah. Kerana syurga Allah.





PEACE BE UPON YOU

  Even though I Can't see your face  Your presence  Is always all around me Your name's on mind every single day  Peace be upon you ...