29 July 2015

Mahu berpaling atau meneruskan?


Bismillahirrahmanirrahim.

Perjalanan kehidupan ini hakikatnya tidaklah panjang untuk di biarkan berlalu dengan sia-sia. Untuk dibiarkan detik waktu itu pergi hanya dengan renungan kosong sepanjang hari.

Masa berlalu semakin cepat.

Terkadang tanpa disedari kemana hilangnya diri. Dalam sedar aku berjalan atau cuma sebuah mimpi dan ilusi.

Tatkala diri mula hilang punca, terkadang itu mahu saja lari dari usrah. Lari dari tarbiyah. Ingin berkurung sendirian. Akhawat sekeliling pun rasa seperti orang asing yang tidak di kenali.
Kepala cuma mahu menunduk. Muka hanya mahu disorokkan. Telinga tidak mahu mendengar bicara apa pun.

Beku.

Betapa teruk sekali perasaan yang bergolak ketika itu.

Rasa semua orang salah.
Rasa diri tak layak berada di kalangan mereka yang hebat. Tak layak untuk berada di sini.

Rasa teruk.
Teruk sangat.
Rasa terbeban.


Tetapi ada terselit rasa hati , rasa hati yang inginkan untuk bangkit dan keluar dari keputus- asaan ini. Ingin keluar dengan ceria. Melihat mentari indah bersama akhawat tercinta. Ingin duduk bersama membasah iman. Ingin meninggalkan kegelapan ini di belakang. Ingin biarkan ia berlalu pergi tanpa menghantui perjalanan yang kehadapan.

Dalam rasa itu, cuba untuk mencari.  Apakah kehidupan ini hakikatnya?

Dan jauh ditenung ke hadapan....


Dalam duduk menung mencari solusi, lalu tangan pantas mengambil quran biru kesayangan. Dibuka mana-mana saja muka surat lalu dibaca perlahan. Satu-satu ayat di baca. Lalu dibacakan pula terjemahannya. Kerana pesan ayah begitu. Dibaca terjemahannya selepas itu baru lebih terasa dan menusuk ke jiwa ayat yang kita baca. kerana kita ini bukan faham makna arab tu sangat.

Dan quran itu dibaca dan dibaca sehingga mengalir air mata.
Tetapi bacaan ku terhenti pada ayat ke seratus empat puluh empat surah Ali Imran.




" Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa rasul. Apakah jika dia wafat atau di bunuh, kamu berbalik ke belakang ( murtad) ? Barang siapa berpaling ke belakang, maka dia tidak akan merugikan Allah sedikitpun. Allah akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur. " 
 ( QS 3: 144) 


Diulang berkali kali bacaan ayat ini..
Apakah ini memang ayat untukku hari ini? 

Sebak menguasai dada. 
Ya ALLAH.
Kau hadirkan murabbi dalam kehidupanku. Kau beri petunjuk buatku. Lalu aku hanya kecewa kerana mereka pergi?? Aku mempersoalkan kehidupan ini kerana mereka telah tiada? 

Kerana itu?


Dan kerana murabbi pertamaku, telah pergi meninggalkan ku. Kembali ke pangkuanMu. 
Kerana dia teramat istimewa buat ku. Mengenalkan aku kepada MU dan mengenalkan aku kepada murabbi agung, nabi Muhammad s.a.w. Dia teristimewa. Umi tercinta. 

Lalu dalam kehidupan tarbiyah ku juga, KAU beri ku murabbi. Dan ku begitu menghormati dan menyayangi mereka. Tetapi yang disayang pula pulang meninggalkan ku. 

semuanya ingin pergi. semuanya ingin meninggalkan. 
dan jeritan ini tidak mampu mengubah apa-apa pun.
Dan aku seperti menyalahkan. mungkin tidak secara terang terangan. tetapi kiasannya begitu.

Tempoh setahun ini.
Terlampau banyak yang cuba difahamkan. 
Tempoh yang mana mudah sahaja aku rapuh. Mudah sahaja untuk jatuh. Mudah sahaja untuk mengalirkan air mata. Mudah sahaja untuk aku berdiam diri. Mudah sahaja untuk aku berlepas tangan. 

Pernah sahaja terdetik untuk berlepas dari semua ini. Ingin pergi dari murabbi. Ingin melepaskan tanggungjawab dan beban dakwah. 

kerana padaku tiada siapa yang mengerti. Payahnya menerima kehilangan. Payahnya menerima takdir. Payahnya untuk meluahkan.


Tetapi ayat ini.. ayat seratus empat puluh empat surah Ali Imran membawa aku kembali.
Berbicara dengan diri. Berbicara dengan Tuhan. 

Seandainya aku beriman dengan manusia sesungguhnya dia akan pergi.  Umi akan pergi. Kakak-kakak akan pergi. Ayah pun akan pergi. Semua itu akan pergi. Semua akan meninggalkan. 

Tetapi sekiranya beriman kerana Allah, nescaya Dia sentiasa mendampingimu. Dia dekat dengan mu. Dia mendengar setiap tangis rayu mu. Dia tahu kesedihan mu, Dia tahu kepayahan mu. Dan Dia tahu di mana kepuasan dan kegembiraan mu.

Dan kerana ayat ini juga aku bangkit. Dan kebangkitan itu sangat perit. Sedikit sakit terutama bila orang sekeliling juga mahu berpaut sama. Dalam tempang aku terpaksa membawa beban juga. Mungkin kerana tuhan mahu ajarkan kepadaku bahawa kita berjalan perlu menuju tuhan bukan kerana manusia. Mereka itu cuma pembawa. Mereka itu cuma juru pandu. Mereka itu cuba penyuluh gelap. Mereka itu cuma pembantu. 

Hakikatnya yang dituju adalah DIA; Allah yang satu. 


***


Buat semua yang pernah hadir sebagai murabbi ku. Ketahuilah diri ini amat menghargainya. Satu nikmat yang besar. Sehingga saat ini aku merasainya. Nikmat hidup mengenal tuhan. Nikmat hidup untuk mencipta kematian. Nikmat berkasih kerana tuhan. Nikmat berdakwah untuk bekalan sepanjang hayat. Nikmat mencari kenikmataan akhirat.

Dan kerana itulah aku persoalkan kembali, apakah layak untuk aku berpaling meninggalkan? atau mahu meneruskan dengan cara ini, dalam jalan ini?

dan pilihan itu berada di tangan ku.


Untuk murabbiku,
Biarpun ada yang telah meninggalkan ku di dunia.
Dan ada juga yang sudah berjauhan merantau di serata pelusuk bumi.

Doaku untukmu tak akan pernah putus.
Kerana berkat tangan asuhanmu aku menjadi nafisah hari ini. Biarpun terlampau banyak cacat celanya. Akan di cuba untuk meraih yang terbaik selagi masih punya peluang bernafas di muka bumi ini.

Doakan aku juga. Dikesempatan apa pun aku ingin mencipta yang terbaik buat kehidupan ummah.

Doakan juga, biar kesedihan ini dan kegalauan ini tarbiyah terbesar buat diriku. Ditetapkan hati dan di kukuhkan langkah untuk hari-hari mendatang.




P/S: maaf atas coretan panjang ini. kerana aku ingin mengatakan bahawa kehadiran murabbi itu cukup besar ertinya dalam hidupku.




No comments:

PEACE BE UPON YOU

  Even though I Can't see your face  Your presence  Is always all around me Your name's on mind every single day  Peace be upon you ...